MITI gesa sektor industri patuhi SOP sepanjang PKP

0
181
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggesa pihak industri di negara ini mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetap kerajaan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula esok.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, MITI akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri dalam penguatkuasaan secara berkala ke atas pemain-pemain  industri untuk memastikan pematuhan SOP selaras dengan Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Majikan yang didapati melanggar dan tidak mematuhi SOP akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan,’’ katanya dalam kenyataan kementerian itu hari ini.

Azmin berkata, selaras dengan objektif mengekang penularan pandemik Covid-19, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat manakala jumlah pekerja kumpulan sokongan dan pekerja yang terlibat secara langsung dalam barisan pengeluaran akan ditentukan oleh majikan masing-masing.

Jelas beliau, bagi kerja-kerja yang tidak memerlukan kehadiran secara fizikal, arahan Bekerja Dari Rumah (BDR) akan berkuatkuasa. 

“Kerajaan menyeru pihak industri dan swasta mempertingkatkan pelaksanaan BDR sebagai norma baharu selari dengan kecanggihan teknologi terkini dan aplikasi atas talian,’’ tegasnya.

Sementara itu tambah Azmin, syarikat-syarikat sektor pengilangan dan pembuatan dalam perkhidmatan perlu yang belum berdaftar dengan Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) boleh berbuat demikian di pautan https://notification.miti.gov.my mulai pukul 3.00 petang, 12 Januari 2021. 

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan terus berusaha memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi dicapai bagi menjamin kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

“MITI sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab ke atas pembangunan dan perkembangan aktiviti industri, perdagangan dan pelaburan negara sentiasa terbuka menerima pandangan yang dikemukakan oleh persatuan-persatuan industri dan dewan-dewan perniagaan. 

“Pandangan industri adalah penting untuk membantu Kerajaan mencapai keseimbangan di antara perlindungan kesihatan dan keperluan menjana serta merangsangkan semula sektor ekonomi negara,’’ katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan kerajaan membenarkan lima sektor ekonomi perlu (essential economic sectors) termasuk pengilangan dan pembuatan beroperasi bagi menjamin proses pemulihan semula ekonomi negara berjalan lancar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here