Muslim perlu bersatu, saling membantu ke arah kebaikan

0
53
Dr.Taha Omar

CYBERJAYA- Ketika pandemik Covid-19 melanda negara, golongan Muslim perlu bersatu dibawah satu payung untuk membantu umat Islam ke arah kebaikan.

Penyelidik Ekonomi Islam, Dr. Taha Omar berkata, antara yang terbaik ialah golongan Muslim bersatu mengumpulkan dana atau tabung ke arah kebaikan.

Beliau berkata, sekiranya ada institusi atau badan-badan diluar sana (kecuali kerajaan) yang boelh menjaga amanah, itu adalah yang terbaik.

“Kita bukan tidak percaya kepada institusi kerajaan…mereka berteraskan Islam tetapi, maaf cakap nama sahaja Islam tetapi ‘mindset’ atau kerangkanya tidak Islam.

“Bayangkan, duit zakat yang dibayar berjuta-juta tidak dihabiskan pun…Alasannya tidak jumpa siapa yang layak untuk dibahagikan.

“Kita juga tahu, berapa banyak duit zakat, projek zakat yang digunakan untuk buat bangunan besar-besar yang kononnya untuk disewakan.

“Siapa yang mahu sewa menara di tengah bandar. Kita lihat pula siapa kontrakornya, siapa yang jadi kaya? Itu duit orang Islam.

“Itu soal zakat..wakaf pula, berapa banyak tanah kerajaan yang tidak tahu nak buat apa. Bila ada yang mahu sewa tidak bagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam video bertajuk Impak Covid-19 Pada Ekonomi Islam yang disiarkan di laman Facebook Malakat Mall malam ini.

Jadi katanya, beliau percaya, sekiranya golongan Islam boleh mengumpul dana dalam satu tabung, nasib mereka yang memerlukan lebih terjamin.

Sehubungan itu katanya, golongan Islam perlu bersatu wujudkan koperasi dan berikan bantuan kepada mereka yang beramal dan memerlukan.

“Wakaf, infaq dan sedekah itu merupakan tunjang ekonomi Islam. Cari jalan dan banyak pihak atau organisasi boleh menjadi pemudah cara,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bukan ekonomi Malaysia sahaja terjejas akibat Covid-19 sebaliknya seluruh dunia dan statistik menunjukkan 75 peratus penduduk dunia berhutang dengan bank.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here