Nahas Sriwijaya Air mungkin berpunca daripada masalah teknikal

0
132

JAKARTA – Pasukan penyiasat insiden pesawat Sriwijaya Air tidak menolak kemungkinan nahas tersebut berpunca daripada masalah teknikal.

Perkara tersebut diutarakan oleh anggota penyiasat Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Nurcahyo Utomo.

Dalam satu laporan yang dimuat naik oleh portal The Print, Nurcahyo dipetik sebagai berkata, “kerosakan pada ‘throttle’ merupakan salah satu daripada faktor yang sedang kami kenalpasti.

“Tetapi pada waktu ini, saya tidak boleh sahkan (kerosakan tersebut) punca pesawat tersebut terhempas,” kata Nurcahyo.

Siasatan turut dibantu oleh jurutera daripada Boeing yang sedang menganalisa data yang diperoleh daripada alat perakam data penerbangan (FDR) yang berjaya ditemukan minggu lepas.

Sementara itu, satu sumber menyebut, ‘throttle’ yang mengawal kuasa enjin pesawat Boeing 737-500 tersebut mengalami kerosakan, menyebabkan salah satu daripada enjinnya menghasilkan kuasa tujahan yang berlebihan.

Dalam insiden pada 9 Januari lepas, pesawat Sriwijaya Air yang membawa 62 penumpang dan anak kapal yang menuju ke Pontianak, disahkan terhempas ke Laut Jawa selepas hilang daripada radar setelah 9 minit berlepas daripada Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Jakarta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here