Naib Ketua AMK Kedah penerima pertama vaksin Covid-19 di Malaysia

0
295
Adam Loh menjadi penerima pertama vaksin Covid-19 di Malaysia

CYBERJAYA – Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Adam Loh menjadi individu pertama di negara ini yang menerima suntikan vaksin Covid-19, semalam.

Beliau menjadi salah seorang daripada 3,000 sukarelawan kumpulan pertama yang menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam kajian klinikal fasa ketiga vaksin tersebut dengan suntikan pertama bermula di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.

Loh berkata, beliau mengambil inisiatif dengan menawarkan diri sebagai sukarelawan kajian kerana yakin hanya dengan vaksin dapat melawan wabak penyakit tersebut.

“Walaupun ia hanya kajian dan belum diluluskan sepenuhnya, dengan sumbangan kecil ini ia dapat mempercepatkan perkembangan penerimaan vaksin di Malaysia.

“Kita jangan putus asa dan yakin virus ini dapat diatasi,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.

Dalam pada itu, Loh turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjalankan tugas tersebut dengan cemerlang.

KKM menerusi satu kenyataan semalam berkata, seramai 62 individu yang sihat telah dipilih menjadi sukarelawan penerima vaksin pertama yang akan disusuli dengan beberapa suntikan seterusnya mengikut jadual.

Selain itu KKM turut memaklumkan sebanyak 9 hospital di seluruh negara akan terlibat dalam percubaan klinikal di bawah penyelarasan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), KKM.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here