Pasangan pengantin di Kedah wajib jalani ujian Covid-19

0
111
JHEAIK menguatkuasakan syarat ujian Covid-19 kepada pasangan pengantin bermula 1 Februari ini.

ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) mewajibkan ujian saringan Covid-19 kepada semua bakal pengantin dari zon merah sebelum majlis akad nikah bermula 1 Februari ini.

Diisytiharkan sebagai zon merah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), setiap pasangan yang bernikah di negeri itu perlu menjalani saringan ujian Covid-19 sebelum majlis akad nikah.

Pengarahnya, Mohd Yusri Md Daud berkata, ketetapan Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) Covid-19 itu perlu dipatuhi dan dikemukakan kepada Pegawai Agama Daerah dalam tempoh tiga hari sebelum akad nikah berlangsung.

Beliau berkata, ujian itu boleh dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan yang diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk swasta dengan kos ujian atas tanggungan sendiri.

“Bakal pengantin yang berlainan daerah dan negeri hendaklah mendapat kebenaran rentas negeri daripada pihak polis, manakala JHEAIK dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) tidak mengeluarkan surat sokongan untuk tujuan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Pengarah JHEAIK hari ini.

Mohd Yusri berkata, majlis yang diadakan di PAID pula hanya boleh dihadiri oleh juru nikah, saksi, pasangan pengantin serta seorang wali,

Tambahnya, sepanjang majlis berlangsung, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 akan dilakukan secara ketat.

“Jurunikah pula membabitkan tiga Penolong Pendaftar Nikah Cerai Rujuk (PPNCR) yang bertugas mengikut sistem penggiliran yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kursus pra perkahwinan secara bersemuka terpaksa ditangguhkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan mengingatkan pihaknya tidak mengiktiraf sebarang sijil secara dalam talian.

“Proses temuduga akan dilakukan bagi menggantikan kursus praperkahwinan dan tujuan permohonan kebenaran berkahwin di Kedah.

“Pihak PAID berhak menolak kehadiran pemohon sekiranya langkah keselamatan ditetapkan atau apa-apa arahan Pegawai Agama Daerah gagal dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Tambah beliau, perkhidmatan nikah, cerai dan rujuk di PAID juga akan beroperasi seperti biasa mengikut SOP ketat berkuat kuasa 1 Februari ini.

“Permohonan kebenaran berkahwin baharu hanya akan diproses oleh PAID bagi pasangan yang mengemukakan dokumen wajib yang lengkap.

“Orang awam yang berurusan berkaitan nikah, cerai dan rujuk hendaklah mematuhi norma baru dan langkah keşelamatan ketika beruruşan di premis, selain tidak mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selsema, serta mengamalkan penjarakan sosial satu meter dan sentiasa memakai pelitup muka,” katanya.

Mohd Yusri berkata, semua urusan digalakkan melalui temu janji dengan menghubungi talian PAID kawasan masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here