Pasukan SAR masih taruh harapan CVR pesawat Sriwijaya Air ditemukan

0
44

JAKARTA – Pasukan penyiasat Indonesia masih menaruh harapan untuk menemukan alat perakam suara kokpit (CVR) pesawat Sriwijaya Air yang terhempas bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai insiden tersebut.

Pihak mencari dan menyelamat (SAR) telah menemukan alat perakam data penerbangan (FDR), dan pihak penyiasat telah berjaya memuat turun data yang berkaitan, kata Reuters.

Anggota SAR telah menemukan bekas simpanan CVR pada Jumaat lepas, namun modul memori alat tersebut didapati telah terpisah.

“Kami amat berharap modul memori tersebut dapat ditemukan dengan segera.

“Data pada alat tersebut penting supaya dapat dibandingkan dengan data yang sudah dimuat turun daripada FDR,” kata seorang penyiasat dari Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT), Nurcayho Utomo.

Beliau menambah, setakat ini KNKT telah berjaya memuat turun data penerbangan selama 27 jam yang meliputi 18 penerbangan termasuk pada hari kejadian, meliputi 370 parameter.

Parameter yang dimaksudkan merujuk kepada jumlah data yang terakam pada alatan tersebut, merangkumi maklumat arah penerbangan, kelajuan, maklumat kuasa enjin dan konfigurasi flap pesawat.

Sementara itu, operasi mencari di lokasi kejadian di Laut Jawa pada hari ini terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk dengan keadaan laut yang bergelora.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here