Pelajar Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch teruja, gembira sesi persekolahan dibuka semula

0
359
Sekitar di dalam kelas pada hari pertama di sekolah antarabangsa Brainy Bunch Montessori.

RAUDHAH CITY – Pelajar sesi baharu di Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch di sini berasa amat teruja apabila dapat mengikuti semula sesi persekolahan bersama rakan-rakan dan tenaga pengajar dalam suasana norma baharu selepas hampir setahun terpaksa ‘berkurung’ di rumah.

Menurut Maryam Mawardi, 15, dia berharap tahun 2021 membawa sinar baharu kepada semua memandangkan tiada sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan pada tahun 2020 berikutan menularnya wabak Covid-19 sehingga memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Covid-19 yang berlaku tahun lalu sangat mengejutkan tapi ia masih ok bagi saya, tetapi bila berkuat kuasanya kuarantin saya terus tidak ok.

“Kuarantin di rumah sangat memenatkan, tidak menggembirakan dan saya langsung tidak boleh fokus dalam kelas.

Maryam Mawardi

“Saya berharap tahun 2021 bertukar sebaliknya, tidak seperti pada tahun lalu,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Dalam pada itu, Maryam yang kini berada di kelas junior juga sangat teruja untuk mengikuti kelas secara bersemuka dengan guru-guru selepas hampir setahun terpaksa belajar secara atas talian.

Pendapat sama juga dikongsi oleh Ahmad Husaini Zulkifli, 16, yang turut berasa teruja dapat memulakan sesi persekolahan baharu hari ini.

Ahmad Husaini yang kini berada dalam kelas senior sains, berkata, untuk tahun ini dia berasa sedikit gementar apabila bakal menghadapi peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

Ahmad Husaini Zulkifli

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Operasi Brainy Bunch, Noriha Mohd Zain, sebanyak 500 pelajar mendaftar untuk sesi baharu persekolahan pada tahun ini.

Beliau berkata, untuk sesi kali ini sekolah antarabangsa itu memperkenalkan silibus baharu iaitu mengenai enam sifat sahabat Rasulullah dan program tahfiz.

Bagaimanapun, katanya, program tahfiz ditawarkan secara sukarela kepada pelajar yang berminat selama setahun.

Mengulas mengenai sesi persekolahan yang dibuka ketika masih dalam waktu PKP, katanya, segala prosedur yang ketat telah diambil bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Hari ini semua teruja termasuk ibu bapa apabila sesi persekolahan dapat dibuka semula. Tahun lepas kita sudah buka sekolah selepas dibenarkan oleh kerajaan.

“Jadi kita yakin apabila kita buka sesi persekolahan pada tahun ini, kita dapat mematuhi SOP ditetapkan antaranya dengan mengawal jumlah ibu bapa yang menghantar anak ke dalam sekolah dan menyediakan sabun pencuci.

Noriha Mohd Zain

“Pada masa sama, kita berharap tahun ini lebih baik daripada tahun lepas bagi sektor pendidikan selepas semua pelajar terpaksa belajar secara atas talian kerana PKP,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here