Pelancong terkandas banjir di Taman Negara Pahang diselamatkan

0
136
Kumpulan pelancong yang terkandas akibat banjir di Taman Negara Jerantut, Pahang. Gambar Media Sosial.

CYBERJAYA – Sebanyak 79 pelancong termasuk 15 pelancong asing terkandas di beberapa buah resort di Taman Negara, Jerantut, berjaya dikeluarkan lewat petang semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Sabri Abdullah berkata, kesemua mereka adalah pelancong yang mendaftar masuk ke Taman Negara itu semasa cuti hujung tahun.

“Kebanyakan mereka sepatutnya mendaftar keluar pada 31 Disember lepas, namun paras sungai yang naik mendadak dan melimpah di lima kawasan dalam Taman Negara menyebabkan keadaan tidak selamat untuk mereka menaiki bot untuk keluar.

“Mereka berada dalam jagaan pengusaha resort masing-masing sepanjang terkandas namun keadaan semakin buruk apabila banjir berlarutan menyebabkan bekalan bahan mentah semakin berkurangan dan bekalan air bersih mula terputus,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Sabri berkata, pelancong asing yang terlibat merupakan rakyat luar negara yang menetap di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Ipoh, Perak.

Katanya, usaha membawa keluar pelancong itu dibuat selepas penduduk mendapat berita hujan di bahagian hulu berterusan selama enam jam, sekali gus berisiko menyebabkan banjir lebih buruk dan membahayakan nyawa pelancong.

Keadaan itu menyebabkan JKKK Kuala Tahan menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Jerantut meminta bantuan membawa keluar pelancong berkenaan.

Selain penduduk kampung, turut terlibat dalam operasi itu ialah polis, bomba, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here