Pemilik kenderaan buang sampah ke sungai disiasat JPJ

0
174
Tangkap layar sebuah video yang tular menunjukkan sebuah kereta berhenti di jambatan sebelum seorang wanita membuang sampah ke dalam sungai menerusi tingkap.

CYBERJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik sebuah kenderaan yang tular kerana membuang sampah ke dalam sungai semalam.

JPJ menerusi satu kenyataan berkata, satu notis temu siasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berkenaan.

“Membuang sampah dari kenderaan bermotor adalah satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Kaedah 52 Kaedah-Kaedah Lalu-Lintas Jalan 1959.

“Jika disabitkan kesalahan, hukuman boleh dikenakan terhadap pelaku mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi sabitan kesalahan kedua pula, pemilik kenderaan itu boleh didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjara tidak melebihi dua bulan penjara atau kedua-duanya.

Pada masa sama, JPJ turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadikan amalan membuang sampah dari kenderaan sebagai kebiasaan kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar serta boleh membahayakan kepada pengguna jalan raya lain yang menggunakan jalan berkenaan.

Semalam, tular sebuah video berdurasi 20 saat yang menunjukkan sebuah kereta berhenti di jambatan sebelum seorang wanita membuang sampah ke dalam sungai menerusi tingkap.

Tindakan wanita tersebut mendapat kecaman daripada netizen yang menyifatkan individu berkenaan tiada kesedaran sivik sehingga sanggup membuang sampah secara terbuka ke dalam sungai.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here