Perak benar solat jemaah, bilangan jemaah 40 orang maksimum

0
89

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini memperkenankan kebenaran mengerjakan solat Jumaat dan solat jemaah di masjid dan surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, kebenaran bagi membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan solat itu termasuk di surau bangunan pejabat, institusi, universiti, kolej, sekolah dan kilang.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

“Keputusan dibuat selepas menimbangkan sembah cadangan MAIPk yang berpandukan nasihat Jawatankuasa Fatwa Perak serta pandangan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Baginda Sultan turut memperkenankan had maksimum 40 orang jemaah bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah tidak termasuk ahli jawatankuasa dan pegawai masjid dan surau,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Mohd. Anuar memberitahu, kebenaran juga diberikan untuk majlis keagamaan seperti kuliah dan ceramah di antara waktu solat Magrib dan Isya.

Bagaimanapun katanya, majlis jamuan di dalam atau pekarangan masjid dan surau adalah dilarang sama sekali.

“Syarat penjarakan fizikal antara jemaah akan diperketatkan melalui mekanisme baharu merangkumi aliran masuk dan keluar ke rumah ibadat.

Katanya, ketetapan tersebut akan berkuat kuasa esok pada 28 Januari 2021 sehingga ketetapan baharu dikeluarkan dalam tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam pada itu, Sultan Nazrin menzahirkan titah nasihat agar semua masjid dan surau menganjurkan solat sunat Hajat setiap hari memohon kepada ALLAH agar bencana kesihatan yang melanda dunia segera berakhir.

Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan, polis dan semua agensi terlibat dalam memastikan PKP dipatuhi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here