Permohonan BPR dibuka sehingga 15 Februari ini

0
192
Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz

CYBERJAYA – Permohonan baharu untuk Fasa Pertama Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang dipercepatkan daripada Mei kepada hujung Februari sudah dibuka untuk permohonan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata, permohonan itu yang dibuka sehingga 15 Februari ini boleh dibuat melalui pautan https://bpr.hasil.gov.my.

“Bantuan berkenaan diharap dapat memanfaatkan lebih lapan juta penerima B40 yang lulus di bawah BPN 2.0 dan Bantuan Sara Hidup 2020 (BSH 2020), serta mereka yang lulus permohonan baru nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-38 secara maya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang bekerjasama rapat dengan Yayasan Hasanah untuk mempercepatkan penyampaian 150,000 komputer riba oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bermula bulan hadapan.

Katanya, langkah itu dapat memastikan murid daripada keluarga B40 dapat meneruskan pelajaran secara dalam talian walaupun dari rumah. 

“Ini adalah salah satu cara kita memanfaatkan ekosistem kerajaan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Ini juga bukan kali pertama Yayasan Hasanah berganding bahu dengan Kementerian Pendidikan bagi menyumbang kepada perkembangan sektor pendidikan terutamanya bagi pelajar-pelajar di luar bandar. 

“Untuk pengetahuan umum, dari tahun 2015 hingga 2019, Yayasan Hasanah telah membelanjakan sebanyak RM363 juta untuk tujuan ini,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here