[VIDEO] Pernah tidur di kaki lima jalan, wanita ini bangkit jadi tauke madu terkenal

0
240
Rohaya Che Abu Bakar bersama produk keluaran syarikatnya.

TIDAK pernah berputus asa dalam mendepani cabaran menjadikan Pengurus MTC Advance Marketing Sdn. Bhd., Rohaya Che Abu Bakar seorang usahawan yang berjaya dalam bidang yang diceburi.

Usawahan madu ini mula menapak ke dunia perniagaan pada 2005 dengan terlibat dalam perusahaan milik keluarga suaminya di Chiang Mai, Thailand sebelum pulang ke Malaysia.

Rohaya berjaya dalam dunia perniagaan madu

Rohaya berkata, beliau dan suami pulang ke Malaysia selepas mendapat saranan untuk cuba memulakan perniagaan sendiri dalam bidang yang sama kerana pasaran Malaysia juga bagus.

“Kami memulakan perniagaan madu di Malaysia pada 2008, pelbagai cabaran yang diharungi sebelum mula menapak dalam bidang ini. Pada mulanya untuk perkenalkan produk memang susah.

MTC megeluarkan produk dengan jenama Madu Unggul

“Kami mula dengan pelbagai kaedah termasuk menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan, ketika ini hanya untuk pasaran tempatan dan kami tidak buat untuk eksport lagi.

“Saya ikut pelbagai program anjuran agensi kerajaan untuk mantapkan ilmu dalam bidang ini, ada masanya terpaksa tidur di kaki lima namun, saya tidak pernah berputus asa dan tidak mengalah.

“Ketika ini, kami sudah mempunyai ladang ternakan lebah sendiri di Sungai Lembu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Alhamdulillah hasil bertambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut Rohaya, selepas lima tahun terlibat dalam perniagaan madu, syarikat miliknya itu berjaya mengeluarkan lima produk berasaskan madu dan mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Proses penyediaan madu dilakukan dengan teliti menggunakan teknologi terkini

“Dalam tiga tahun pertama di Malaysia, kita berjaya menembusi pasaran untuk letak produk di pasar raya dengan jenama Madu Unggul selain membekalkan madu untuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Madu keluaran MTC juga ketika ini sudah dieksport ke pasaran luar negara seperti ke Brunei, Singapura dan Emeriah Arab Bersatu (UAE). Alhamdulillah ini semua rezeki Allah dan bantuan semua pihak,” katanya.

Menurut Rohaya, antara agensi yang banyak membantu beliau termasuk dalam soal kewangan ialah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

“Saya mendapat bantuan daripada Risda hampir RM100,000 termasuk bantuan untuk pembelian mesin untuk pembungkusan madu, saya juga menyertai kelas bimbingan Risda dan mendapat ilmu yang bermanfaat.

“Bantuan kewangan itu diterima secara berperingkat dalam pelbagai program bantuan. Alhamdulillah, terima kasih Risda khususnya pegawai Pejabat Pulau Pinang yang banyak membantu,” katanya.

Rohaya Che Abu Bakar bersama pegawai Risda di pejabatnya

Mengulas mengenai pengeluaran madu ketika ini, Rohaya berkata selain tempatan, beliau terpaksa mengimport madu dari negara luar untuk memenuhi permintaan yang tinggi.

“Dahulu kita ada ladang dengan 2,000 petak madu dan mampu keluarkan dua hingga lima tan madu sebulan. Ladang kita juga dijaga oleh pakar yang dibawa khas dari China.

“Tugas pakar ini ialah untuk melakukan pertambahan koloni lebah. Bagaimanapun, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada Mac tahun lalu kita terpaksa hantar mereka pulang.

Rohaya Che Abu Bakar sentiasa memantau proses penyediaan madu bagi menjamin kualiti produk

“Ladang kita di Sungai Lembu juga terpaksa ditutup kerana masalah tertentu termasuk pekerja tidak boleh ke ladang ketika itu. Namun, Alhamdulillah kita ada alternatif lain.

“Kita juga banyak menjalankan kerjasama dengan Jabatan Pertanian dalam bidang ini, termasuk mendapat bekalan permaisuri lebah yang dibawa khas dari Australia,” katanya.

Menurut Rohaya, hasil bantuan pelbagai pihak dan agensi kerajaan, syarikatnya ketika ini mampu mencapai pendapatan antara RM50,000 hingga RM150,000 sebulan.

Dalam pada itu, Rohaya berkata, mereka yang rajin mengamalkan meminum madu dalam kuantiti yang disarankan dapat membantu meningkatkan kekuatan sistem imunisasi badan.

Polyforal antara produk keluaran syarikat milik Rohaya Che Abu Bakar

“Mengamalkan madu dapat menghindarkan diri daripada sebarang virus dan sebagainya. Dengan mengambil madu secukupnya, kita dapat meningkatkan kekuatan badan supaya tidak mudah jatuh sakit.

“Salah satu khasiat madu untuk kesihatan juga adalah meningkatkan metabolisme badan supaya pelbagai proses dalam tubuh dapat berjalan lancar.

“Kandungan nutrisi seperti vitamin, protein, asam amino, karbohidrat, pigmen tumbuhan dan mineral di dalam madu membantu melancarkan pencernaan dan meningkatkan metabolism tubuh,” ujarnya.-RisdaInspirasi

Pengambilan madu boleh memberi manfaat kepada imunisasi badan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here