PKPD di Penjara Bentong dan Kuarters kakitangan

0
150
Sebanyak 615 kes positif Covid-19 direkodkan membabitkan 574 tahanan, 34 kakitangan serta lima ahli keluarga di lokaliti itu.

CYBERJAYA – Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Bentong dan kuarters kakitangannya bermula esok hingga 8 Februari depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas laporan peningkatan kes positif Covid-19 di Penjara Bentong seperti direkodkan Kementerian Kesihatan.

“Kementerian Kesihatan juga mengesahkan berlaku peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 dalam masa singkat dalam kalangan tahanan di lokaliti itu.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Penjara Bentong dan kuarters kakitangan bermula 25 Januari sehingga 8 Februari 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terbabit untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

“SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, sehingga kini, sebanyak 615 kes positif Covid-19 direkodkan membabitkan 574 tahanan, 34 kakitangan serta lima ahli keluarga di lokaliti berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here