Polis Kelantan akan ‘gempur’ kawasan kampung

0
23115
Sepanjang PKP, pelanggan tidak dibenarkan untuk makan di kedai

KOTA BHARU – Polis Kelantan akan ‘gempur’ kawasan kampung di negeri berkenaan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya mendapat maklumat masih ada peniaga yang membuka gerai untuk pelanggan makan di kedai.

Beliau berkata, pihaknya ketika ini berpuas hati dengan pematuhan SOP masyarakat di kawasan bandar bagi mengelak daripada wabak Covid-19 merebak.

“Kami akan ‘masuk’ ke kawasan kampung pula memandangkan ada maklumat terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab membuka gerai untuk pelanggan makan di kedai mereka.

“Saya berharap masyarakat di kampung dapat mematuhi segala SOP yang ditetapkan untuk kebaikan bersama kerana wabak ini boleh menular tidak kira tempat.

“Sudah banyak kes yang ada di kawasan pedalaman dan terpencil. Pihak polis juga memerlukan kerjasama baik dengan orang awam dalam melancarkan tugasan sepanjang pendemik ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, sehingga kini pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 52,000 surat kebenaran rentas daerah dan negeri sejak PKP dilaksanakan.

“Surat itu dikeluarkan kepada golongan yang dibenarkan seperti pekerja yang tiada majikan dan bekerja sendiri susulan kerajaan membenarkan golongan terbabit menjalankan tugas seperti biasa.

“Jumlah itu juga membabitkan pengeluaran surat kebenaran kepada individu yang menjalankan khidmat menghantar makanan yang dibenarkan bagi tujuan pergerakan ekonomi mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here