Polis tahan ahli politik proses sendiri ganja untuk dijual

0
330
Ketua Polis KL, Saiful Azly Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli politik yang pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu ditahan kerana disyaki memproses sendiri dadah di rumah.

Menurut portal Astro Awani, suspek itu turut pernah bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda sebuah parti politik tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, suspek itu pada mulanya ditahan kerana dikesan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 1.45 petang.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan 40 botol mengandungi 400 milimeter (ml) cecair dadah beserta wang tunai RM250 pada suspek,” kata Saiful Azly.

Hasil tangkapan tersebut, pihak polis kemudiannya melakukan satu serbuan ke rumah suspek di Ampang, Selangor yang membawa kepada penemuan 7 pokok ganja serta dua anak pokok ganja.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan 1,500 gram ganja, 3,000 ml cecair ganja, cecair kimia, ganja, tempat menyiram pokok ganja serta sebuah kereta BMW milik suspek,” katanya lagi.

Kesemua rampasan di rumah suspek dianggarkan berjumlah RM60,760 melibatkan pokok ganja bernilai RM4,500, ganja bernilai RM3,000 serta cecair dadah bernilai RM53,100.

Siasatan awal mendapati, suspek mengaku terbabit dalam kegiatan itu sejak Oktober tahun lalu.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 27 Januari ini untuk membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6B akta sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here