Premis perniagaan di Jonker Walk pamer gambar pemimpin komunis diserbu polis

0
627
Gambar pemimpin komunis yang digantung di sebuah premis di Jonker Walk

MELAKA – Sebuah premis perniagaan di Jonker Walk, Jalan Hang Jebat, di sini diserbu polis selepas mempamerkan 18 gambar pemimpin Parti Komunis China, Mao Zedong.

Dalam serbuan yang dibuat semalam itu, kesemua gambar pemimpin komunis China tersebut dirampas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, operasi kira-kira jam 1 tengah hari semalam, polis turut menahan seorang wanita berusia 51 tahun dipercayai pemilik premis berkenaan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Beliau berkata, serbuan berkenaan adalah hasil maklumat orang awam selain pemantauan polis yang mendapati beberapa gambar pemimpin terbabit digantung di dinding bahagian dalam premis.

“Kita sudah membuka kertas siasatan untuk kes ini dan pemilik premis terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian hari ini.

Menurut Mohd Sukri, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana menerbitkan propaganda sebuah pertubuhan haram.

Selain itu, katanya, kes terbabit juga disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menerbit atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Kelmarin, polis menyerbu dua restoran di Pulau Pinang selepas pemiliknya menghias premis miliknya dengan kertas dinding memaparkan ideologi komunis dan pemimpin komunis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here