Program vaksinasi Indonesia dikritik kerana utamakan kumpulan umur produktif

0
57

JAKARTA – Program vaksinasi Covid-19 Indonesia menerima kritikan kerana mengutamakan golongan kumpulan umur produktif daripada warga emas.

Menurut al-Jazeera, pada program fasa pertama bermula hari ini hingga hujung Mac, seramai 1.3 juta petugas kesihatan dan 1.7 juta petugas lain seperti polis, tentera dan petugas kerajaan akan divaksin terlebih dahulu, dan diikuti oleh golongan yang bekerja.

Kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr. Nadia Wikeko, strategi program vaksin ini menyasarkan penduduk yang tergolong dalam umur lingkungan 18 hingga 59 tahun kerana ujian klinikal tahap tiga bagi golongan warga emas belum tamat.

“Kami masih menunggu laporan Badan Kawalan Ubat dan Makanan (BPOM) mengenai kesesuaian vaksin ini pada warga emas,” kata Dr. Nadia.

Strategi Indonesia ini dilihat sebagai membelakangi konsep vaksinasi yang diterima pakai pelbagai negara lain, iaitu kumpulan pertama yang perlu divaksin adalah petugas barisan hadapan dan golongan warga emas.

Spekulasi mengenai strategi ini yang giat diperkatakan adalah kerana kerajaan Indonesia sedang cuba untuk merancakkan kembali ekonomi, selari dengan sasaran Presiden Jokowi untuk memulihkan ekonomi sepenuhnya pada 2021.

Kata pakar ekonomi Universiti Indonesia, Fithra Faisal Hastiadi, strategi ini secara langsung membolehkan jutaan tenaga kerja negara kembali ke tempat kerja masing-masing.

“Buat masa ini, sektor yang mempunyai kesan gandaan terhadap produktiviti ekonomi, seperti pelancongan, pengangkutan dan logistik, adalah antara yang paling terjejas.

“Jadi, apabila golongan umur bekerja sudah menerima vaksin, dan kembali memenuhi sektor tersebut, kita boleh mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata Fithra Faisal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here