PUNB tawar penangguhan pembayaran pembiayaan, diskaun sewa premis

0
83
Tan Sri Noh Omar (kanan) bersama Rakan Usahawan PUNB

CYBERJAYA – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan memberikan penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal dan tawaran diskaun sebanyak 50 peratus sewa premis perniagaan miliknya untuk tempoh enam bulan.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, pemberian itu berkuat kuasa pada 1 Januari lalu hingga 30 Jun ini.

“Tindakan proaktif PUNB ini adalah untuk membantu usahawan kekal berdaya tahan dan berdaya saing ketika pandemik Covid-19 masih menular di negara ini.

“Penangguhan pembayaran pembiayaan ini hanya terpakai ke atas prinsipal sahaja, manakala kadar keuntungan yang sudah ditetapkan perlu dibayar seperti biasa setiap bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, semua Rakan Usahawan PUNB yang telah mendapat penangguhan pembayaran pembiayaan bagi tempoh April hingga Disember tahun lalu secara automatik layak menerima inisiatif itu.

Tambahnya, pemberian penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal bagi Januari hingga Jun ini, dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,000 Rakan Usahawan PUNB dengan melibatkan kutipan sebanyak RM110 juta.

Selain itu, katanya, sebanyak 226 penyewa premis perniagaan PUNB di seluruh negara, layak menerima diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan itu dengan melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM2.5 juta.

“Saya berharap inisiatif yang diperkenalkan ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Rakan Usahawan PUNB dan penyewa premis perniagaan PUNB kerana ramai daripada mereka masih dalam proses untuk pulih dan kembali berdaya saing.

“Pada tahun lalu, PUNB mengumumkan pemberian inisiatif penangguhan pembayaran pembiayaan perniagaan bermula 1 April sehingga 31 Disember 2020 melibatkan kutipan sebanyak RM155 juta.

“Selain itu, PUNB memberi pengecualian sewa bermula 1 April 2020 hingga 30 September 2020 untuk 220 premis perniagaan milik PUNB dengan anggaran kutipan sewa sebanyak RM5.3 juta,” ujarnya.

Noh berkata, ia turut diikuti dengan pemberian diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh 1 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu dengan melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM1.37 juta.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here