Ramai tidak setuju Darurat tapi tidak berani bersuara – Tun M

0
113
Tun Dr. Mahathir Mohamad

CYBERJAYA – Ramai rakyat di negara ini tidak bersetuju dengan pelaksanaan Ordinan Darurat yang dijadikan alasan untuk membendung penularan Covid-19, dakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun katanya, perasaan tidak senang itu tidak berani disuarakan kerana takut akan ada tindak balas daripada kerajaan.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, beliau telah cuba mendapatkan pandangan banyak pihak mengenai pelaksanaan Darurat tetapi tidak ada yang berani menyuarakannya kepada kerajaan.

“Mereka jelaskan (tidak bersetuju) tetapi ternampak mereka dalam ketakutan. Mereka rendah suara sambil memandang sekeliling mereka. Dan mereka pun pesan jangan bagi tahu sesiapa berkenaan pendapat mereka.

“Mereka takut kerana Kerajaan penuh kuasa dan boleh buat apa sahaja kepada mereka. Denda sebanyak 5 juta dan penjara 10 tahun. Tidak boleh dapat perlindungan undang-undang,” katanya dalam catatan blog Chedet hari ini.

Dr. Mahathir berkata, beliau sebaliknya telah menjelaskan bahawa kerajaan tidak boleh berbuat demikian (Darurat) tetapi tetap melakukannya kerana berasa tidak senang dengan keadaan politik semasa.

Dalam pada itu juga katanya, ada ahli-ahli parlimen dari kerajaan dan pembangkang turut menyatakan rasa tidak setuju pada Darurat namun usaha untuk mencadangkan Darurat ditarik balik tidak mendapat kerjasama.

“Disuruh tandatangan surat rayuan supaya darurat ditarik balik – mereka tolak,” katanya.

Dua hari lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sekurang-kurangnya 114 anggota Parlimen menolak pelaksanaan Darurat yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkuatkuasa sehingga 1 Ogos tahun ini.

Di Sarawak, anggota Kabinet negeri mempertimbangkan usul untuk meminta Yang di-Pertuan Agong melepaskan negeri itu daripada perintah Darurat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here