Sampai bila masjid mahu ditutup

0
165
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Dalam kelonggaran kerajaan membenarkan premis perniagaan beroperasi setiap kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19, penutupan masjid dan surau di negara ini dilihat seperti satu ketidakadilan.

Ketua Komunikasi dan Multimedia Pembela dan Ketua Media Muafakat, Rashidi Haris berkata, setiap kali berlaku peningkatan kes Covid-19, masjid dan surau akan menjadi sasaran utama untuk ditutup.

Sedangkan katanya, sejak pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dilaksanakan oleh pihak rumah ibadat itu, tiada lagi kluster dikesan berkaitan dengan masjid dikesan.

“Kenapakah apabila meningkat sahaja Covid-19, maka masjid dan suraulah menjadi ’target’ utama untuk ditutup terlebih dahulu?

“Bukankah lain-lain tempat yang berkaitan dengan ekonomi hampir semuanya masih dibenarkan berfungsi seperti biasa?,’’ katanya dalam kenyataan di Facebook.

Rashidi Haris

Bahkan katanya, penutupan masjid dan surau kepada umum sebelum ini turut menimbulkan persoalan, antaranya oleh bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Prof. Datuk Dr. Lokman Hakim yang mempersoal kewajaran ia dilaksanakan secara drastik serta kenapa masjid turut ditutup sedangkan tiada kluster berkaitan masjid direkodkan.

Sedangkan sepatutnya kata beliau, ketika negara sedang berdepan wabak Covid-19 yang mengganas, wajar untuk seluruh umat Islam mendekatkan diri ke masjid untuk berdoa kepada Allah.

Walaupun tidak menolak bahaya pandemik Covid-19 sehingga kerajaan memutuskan pelaksanaan PKP di hampir seluruh negara, namun kerajaan juga perlu mengambil kira aspek kerohanian umat Islam malah statistik menunjukkan masjid adalah antara kluster terjangkit yang paling minima.

“Keadaan ini berlaku kerana pematuhan SOP pencegahan Covid-19 di kalangan jemaah masjid adalah yang paling berdisiplin dan terbaik, sebab jemaah tidak pernah berlaga bahu, mematuhi jarak satu meter, masuk ke masjid atau surau dengan penuh tertib dan selepas solat tidak duduk dekat-dekat bahkan tidak bersalaman seperti lazimnya,’’ katanya.

Tegas beliau, keadaan itu jauh berbeza dengan apa yang berlaku di pasar malam, pasar raya, restoran dan kedai runcit yang mana dikunjungi ramai pengunjung dengan pematuhan SOP yang lemah.

“Pengunjung yang datang ke tempat-tempat itu datang dari pelbagai tempat yang kita tidak tahu status kesihatan mereka. Sedangkan ahli kariah dari kampung atau dari kawasan kejiranan perumahan ini adalah orang yang sama,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada kerajaan yang didominasi oleh pemimpin Melayu Islam hari ini mencari jalan agar aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau dibenarkan semula dengan peraturan-peraturan perlu dilaksanakan.

“Ini supaya kita dapat kembali memakmurkan rumah Allah yang juga merupakan tempat yang paling disukai-Nya agar kita kembali meletakkan kebergantungan hanya pada Yang Satu bukannya bergantung pada sesama manusia,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here