‘Saya bukan penunggang agama’ – Coach Fadzil

0
1848
Malakat Mall merupakan Pasar Muslim terbesar yang berjaya dibina bagi memberi peluang kepada usahawan Muslim memasarkan produk mereka

RAUDHAH CITY – Pengasas Malakat Malla, Mohd Fadzil Hashim menafikan menggunakan elemen agama dalam setiap perniagaan yang dilakukannya bagi meraih keuntungan buat diri sendiri.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, setiap usaha dan tindakan yang diambilnya sejak 10 tahun lalu iaitu ketika pusat perkembangan awal kanak-kanak, Brainy Bunch diasaskan, kesemuanya melangkaui kepentingan material.

“Sebahagian daripada inisiatif dan idea yang dilaksanakan tidak mudah difahami. Ramai yang mendakwa yang saya menunggang agama untuk kepentingan diri.

“Saya mengharapkan tuan puan, terutamanya ibu bapa Brainy Bunch dan masyarakat secara amnya dapat melihat bahawa segala tindakan, inisiatif, usaha sejak sedekad yang lalu kesemuanya melangkaui kepentingan material.

“Tatkala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Yayasan Brainy Bunch membantu 20,000 keluarga yang tiada makanan melalui Projek Zero Hunger.

“Kami telah memulakan Pasar Muslim terbesar melalui Malakat Mall yang menjadi tempat usahawan Muslim menjual produk dan perkhidmatan mereka tanpa perlu bimbang akan kos-kos overhed yang tidak munasabah,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim

Dalam pada itu, Coach Fadzil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch berkata, setiap usaha yang dilakukannya untuk mewujudkan ekosistem ekonomi Malakat itu adalah terilham daripada anak-anak Brainy Bunch sendiri.

“Kita mahu melahirkan anak-anak kita yang mengamalkan ajaran agama secara menyeluruh. Bagaimana mereka dapat mengamalkan Islam sedangkan ekosistem ekonomi kita sekarang bertentangan dengan ekosistem ekonomi Islam?

“Riba adalah pelincir dan enjin ekonomi hari ini. Pendapatan rendah, pasaran yang tidak mesra Muslim, rangkaian bekalan makanan yang dimonopoli oleh mereka yang tiada iman mengakibatkan kita makan hidangan tidak halal, pendapatan yang diragui sumbernya dan bi’ah (persekitaran) yang tidak membantu kita mendekati Allah,” ujarnya.

Bunch-Oh merupakan salah satu jenama yang berjaya dibangunkan

Menyentuh lebih lanjut, katanya, sejak Malakat Mall dibuka pada Mac lalu, lebih 40 jenama runcit bagi memudahkan usahawan Muslim yang ingin memperoleh pendapatan pasif dan aktif berjaya diwujudkan.

Katanya, antara jenama yang berjaya dibina ialah kedai hardware, DIY Malaya; kedai automotif, Malakat Auto; kedai alat tulis, Conteng; kedai buku, Iqraread; kedai sukan, Tahan Sports; pasar raya Malakat Grocer dan Malakat Express; kedai peralatan memasak, Kool Kitchen; pengeluar kabinet dapur, Kabine serta butik pakaian lelaki iaitu Anak Jantan dan TGM.

“Kami juga mengusahakan jenama RAHSIA (butik wanita), Karkun Store, Himawari, 2358 Fashion, Bunch OH (gabungan konsep restoran Kopitiam dan Starbucks), The Tarik Corner (restoran mamak), It’s Thai, Lejen Ayam Kampung, CASA De Madani (Hidangan Istimewa Halal Pertama di Malaysia).

Jenama SERAGAM iaitu pakaian sekolah turut dijual di Malakat Mall

“Selain itu, kita juga membina jenama Red Hots, Tea Amo, Captain Fried Chicken, OhSandiwch (seperti Subway), One2JUS (seperti BOOST), BurgerBOY, SERAGAM (pakaian pelajar sekolah kerajaan) NOORE (busana sukan Muslimah),” ujarnya.

Sementara itu, katanya, melalui inisiatif NORIBA, pihaknya telah melancarkan sebuah kempen yang membuka jalan untuk umat Islam meninggalkan sistem riba secara keseluruhan menjelang 2030.

Tambahnya, bagi mempastikan umat Islam menguasai perniagaan atas talian, pihaknya juga telah membangunkan gerbang pembayaran melalui RaudhahPay.

“Hayib.com, iaitu pasar online kami sedang dibangunkan bagi menjadi seperti aplikasi Amazon dan akan dijenamakan semula menjadi Malakat.com,” katanya.

Pada masa sama, Coach Fadzil berkata, pihaknya juga dalam proses akhir untuk mewujudkan sebuah platform media sosial yang dicipta sebagai alternatif kepada Facebook.

Katanya, platform media sosial itu yang dikenali sebagai ADAB.page dijangka dilancarkan pada awal tahun ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here