Selepas 2020 yang mengujakan, semoga 2021 hadir mempersonakan

0
141
Meskipun Covid-19 melanda negara, petugas Malakat Tribune tetap komited mencari bahan menarik untuk disajikan kepada pembaca

TANGGAL 1 Januari hari ini genap setahun Malakat Tribune beroperasi, sebuah portal baharu yang diwujudkan oleh sekumpulan bekas petugas media daripada sebuah media yang terpaksa ‘gulung tikar’ pada Oktober 2019.

Tahun 2020 yang diharapkan memberi satu harapan baharu selepas beberapa bulan berhadapan ketidaktentuan akibat syarikat lama menutup operasi, secara tiba-tiba, bertukar menjadi mimpi ngeri semula.

Baru tiga bulan tahun 2020 menjengah, seluruh negara dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19 sehingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilakukan berbulan-bulan lamanya.

Rentetan daripada PKP ini, banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu bertahan dengan perlu menanggung pelbagai kos tetapi tiada ‘duit yang masuk akaun’.

Keadaan tidak menentu bukan sahaja melanda ekonomi malah turut berjangkit pada politik. Ketidaktentuan politik dalam negara ditambah dengan situasi semasa Covid-19 menyebabkan ekonomi hampir semua sektor hampir lumpuh selumpuh-lumpuhnya.

Dijangkakan tahun 2021 ini cabaran yang lebih besar akan menanti. Meskipun vaksin Covid-19 sudah diterima dan digunakan di beberapa negara termasuk negara jiran Singapura, keberkesanan dan sejauh mana ia berupaya menghalang manusia daripada dijangkiti Covid-19 masih diperdebatkan.

Bab politik pula, keadaan yang lebih tidak menentu pasti akan berlaku tahun hadapan. Jika vaksin ini berkesan dan kes Covid-19 mula tunjuk penurunan, sudah pasti akan ada pihak yang meminta parlimen dibubarkan dan mahukan pilihan raya umum diadakan.

Dengan keadaan dan pergolakan gabungan parti politik sedia ada, agak sukar untuk meramalkan sama ada keadaan ini akan kembali pulih jika pilihan raya diadakan atau bertambah lebih buruk.

Apa yang pasti kita semua perlu lakukan persediaan sekarang juga untuk menghadapi hari-hari mendatang.

Jika ada yang sudah memohon wang i-Sinar dan diluluskan, gunakan wang berkenaan sebaik mungkin untuk mulakan perniagaan. Sebaik-baiknya ukur baju di badan sendiri dan tidak melaburkan duit dalam skim cepat kaya atau sebagainya.

Jika pernah ‘jatuh tersungkur’ sebelum ini, janganlah terlalu lama termenung memikirkan nasib malang yang menimpa diri. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Jadikanlah Tahun Baharu 2021 untuk kita bangkit semula dengan penuh gagah dan berkeyakinan. Jangan biarkan ia hanya satu azam, tapi jadikannya satu titik tolak untuk bergerak lebih gagah.-MamuHaria

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here