Solat Jumaat dan fardu sehingga 500 jemaah di Melaka

0
99
Kuliah Maghrib dan bacaan Yasin juga dibenarkan di Masjid dan Surau di Melaka

AYER KEROH – Solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dibenarkan berjalan seperti biasa di Melaka dengan kehadiran sehingga 500 orang jemaah.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, aktiviti kuliah Maghrib dan bacaan Yasin pada setiap Khamis malam Jumaat juga dibenarkan.

Beliau berkata, jumlah jemaah yang dibenarkan adalah berdasarkan kapasiti bangunan masjid dan surau dengan penjarakan fizikal satu meter.

“Solat di luar bangunan masjid dan surau adalah dilarang. Bagi masjid kerajaan maksimum jemaah dibenarkan ialah sebanyak 500 jemaah.

“Masjid kariah dan institusi maksimum 250 orang dan surau adalah sehingga seramai 75 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sulaiman, walaupun kuliah Maghrib dan bacaan Yasin serta Tahlil diberikan kelonggaran namun, kejadiran penceramah luar dari Melaka tidak dibenarkan.

“Kita ambil keputusan aktiviti kuliah dan program selain kuliah Maghrib hendaklah ditangguhkan.

“Jawatankuasa masjid dan surau mesti memastikan jemaah mematuhi prosesur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti pendaftaran jemaah, pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” tambahnya.

Dalam pada itu katanya, majlis akad nikah masih dibenarkan dengan mengikut SOP ditetapkan, namun lokasi majlis yang ditetapkan hanyalah di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bagi kariah yang berada dalam zon jingga dan merah.

Sementara akad nikah di masjid kariah pula, kebenaran diberikan kepada mereka yang berada dalam zon kuning dan hijau atau mana-mana lokasi yang dibenarkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here