Solat Jumaat di Kelantan maksimum 50 jemaah

0
88
MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini.

KOTA BHARU – Sebanyak 50 jemaah maksimum dibenarkan untuk solat Jumaat di masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim di Kelantan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, untuk solat fardu pula jemaah tidak lebih 12 orang.

“Bagi solat fardu di lokasi sama pula, dibenarkan dengan bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang termasuk imam tua, imam muda, bilal, siak, dan ahli jawatankuasa sahaja.

“Bagi solat fardu di surau dan musalla, hanya lima orang ahli jemaah sahaja dibenarkan termasuk imam, bilal dan ahli jemaah terpilih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, semua jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat Jumaat dan fardu sebagaimana dikeluarkan sebelum ini.

“Perkara ini mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini.

“SOP seperti dikeluarkan sebelum ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau atau musalla dan tindakan sewajarnya akan diambil jika gagal untuk mematuhinya.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here