Tiga lelaki menyamar polis ditahan, lakukan samun di Taman Melawati dan Ampang Jaya

0
119
Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga 21 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaaan iaitu samun berkawan

CYBERJAYA- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga lelaki warga tempatan yang menyamar sebagai anggota polis dan menjalankan kegiatan samun di sekitar Taman Melawati dan Ampang Jaya pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, mondus operandi kesemua suspek ialah memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum memeriksa serta merampas barang berharga milik mangsa.

“Polis menahan seorang lelaki berumur 24 tahun di Jalan Taman Melawati pada 10.30 malam hari sama. Hasil siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada penangkapan dua lagi rakan jenayah suspek berumur 24 dan 45 tahun.

“Mereka menyasarkan mangsa bertubuh fizikal kecil tidak kira sama ada wanita atau lelaki mahupun warga emas yang berjalan bersendirian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata ketiga-tiga suspek yang melakukan kegiatan jenayah itu pada waktu malam dengan hanya berpakaian awam turut mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah, samun dan merusuh.

“Ujian air kencing turut dijalankan dan mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Amphetamine. Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Perdana, telefon bimbit dan wang tunai RM1,060 dipercayai milik suspek.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga 21 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaaan iaitu samun berkawan.,” katanya.

Beliau berkata susulan tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan sedang mengesan rakan jenayah suspek yang masih bebas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here