Tiga sekeluarga nyaris lemas kenderaan dihanyut air di LPT2

0
241
Anggota polis membantu mengeluarkan mangsa ke kawasan selamat

KEMAMAN – Gara-gara cuba meredah air banjir, tiga sekeluarga nyaris lemas setelah kenderaan yang mereka naiki hanyut terperangkap dalam air banjir di bawah jambatan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Chukai, di sini hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi itu mangsa yang dari Kuantan, Pahang sedang menghala ke Mak Lagam.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, kita mendapati sebuah kereta jenis Ford Ranger 4×4 telah meredah air banjir, walaupun jalan itu telah ditutup kepada semua kenderaan.

“Akibat tindakan tersebut menyebabkan kereta mangsa rosak dan tenggelam di dalam air berkenaan,” katanya.

Menurutnya, terdapat tiga mangsa dalam kenderaan tersebut iaitu seorang lelaki dan dua perempuan yang berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Keadaan kenderaan yang dihanyutkan air banjir

Katanya, kesemuanya mereka berjaya keluar menyelamatkan diri dengan dibantu pihak polis dan bomba yang berada di lokasi kejadian.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan kepada orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa, terutamanya melibatkan laluan yang dinaiki air.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here