Toyota tawar pemilikan kenderaan patuh syariah

0
1164
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Syarikat pembiayaan kereta, Toyota Capital Malaysia memperkenalkan program langganan kereta Islamik yang pertama di dunia menerusi program Kinto One.

Menurut Presidennya, Thomas Chai, Kinto One adalah hasil kerjasama strategik antara Toyota Capital Malaysia dan UMW Toyota Motor dan direka secara khusus untuk memenuhi keperluan gaya hidup generasi baharu berkaitan mobiliti.

“Ia berkenaan peralihan cara pembelian pelanggan daripada pemilikan kenderaan kepada penggunaan kenderaan. Ia juga selari dengan visi ‘Mobility for All’ yang dijuarai oleh Toyota,” katanya seperti dipetik oleh Bernama hari ini.

Kinto One adalah pelan langganan kenderaan yang merangkum seluruhnya dengan bayaran ansuran bulanan tetap yang mana ansuran bulanan tetap berkenaan sudah termasuk sekali kos pendaftaran kenderaan, insurans komprehensif tahunan dan cukai jalan, penyelenggaraan berjadual serta penyelenggaraan pencegahan.

Tempoh langganan disediakan sama ada bagi dua tahun atau tiga tahun dan selepas ia tamat, pelanggan hanya perlu memulangkan kenderaan terbabit kepada Toyota Malaysia.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor Ravindran Kurusamy berkata, KintoOne disasarkan untuk memenuhi keperluan generasi muda pemilik kenderaan yang inginkan kebebasan dan mobiliti melalui pelan langganan bulanan dengan ansuran tetap dan inklusif.

Kinto One dilancarkan oleh Toyota Motors Corporation dan diperkenalkan di banyak negara di dunia termasuk di Amerika Utara dan Amerika Selatan, negara-negara utama Asia dan Eropah.

Program itu kini secara rasminya boleh didapatkan oleh pelanggan di Malaysia bermula hari ini secara dalam talian melalui laman web www.kinto-my.com.

Model semasa yang ditawarkan termasuk Toyota Vios, Yaris, Corolla, Innova, Fortuner dan Camry dengan banyak lagi model lain akan disertakan, termasuk kereta Lexus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here