Tun Salleh Abas meninggal dunia

0
203
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun

CYBERJAYA – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, pada pukul 3.20 pagi hari ini.

Allahyarham yang berusia 91 tahun menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut selepas beberapa hari menerima rawatan.

“Dengan amat dukacita, Ayahanda kami, Tun Mohd Salleh bin Abas telah kembali ke rahmatullah pada pukul 3:20 pagi Sabtu 16 Januari 2021,” menurut hantaran mesej anak beliau.

Bagaimanapun punca kematian Allahyarham tidak didedahkan.

Sebelum ini, Mohamed Salleh yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad disahkan positif Covid-19 dan dirawat di hospital tersebut.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Raja, Besut, merupakan Ketua Hakim Negara sejak 1984 hingga 1988.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih mewakili Pas apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

Ucapan takziah daripada Yang di-Pertuan Agong

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” titah baginda.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here