Tuntutan palsu : pegawai Akademi Bomba didakwa

0
148

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM16,344.

Muhammad Rasydan Ismail, 36, didakwa menyerahkan kepada Pegawai Akauntan Wan Noor Kasmaliza Awang, invois syarikat Pak Su Global Enterprise berjumlah RM6,480 bagi pembekalan makan minum untuk peserta perancangan dan persediaan kawad kecekapan 2018 pada 6 hingga 8 Mei 2018.

Dia turut dituduh mengemukakan invois syarikat yang sama berjumlah RM9,864 bagi tujuan serupa untuk peserta bengkel pengurusan operasi banjir pada 3 hingga 5 Disember 2017 yang sebenarnya tiada sebarang pembekalan makanan dilakukan pada program itu.

Memetik laporan Bernama, kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Kewangan, Akademi Bomba dan Penyelamat, Wilayah Timur, Marang pada Jun 2018 dan Disember 2017.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai palsu atau RM10,000, jika sabit kesalahan.  

Hakim Jamaluddin Mat menetapkan jumlah jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta menetapkan 2 Feb untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh diwakili peguam Nur Shahida Shaifuddin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here