Umat Islam perlu guna kuasa di tangan

0
119
Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim – FARIDJANUDIN/MT

CYBERJAYA – Kuasa kepenggunaan yang ada pada tangan umat Islam di negara ini cukup hebat untuk mewujudkan ekosistem perniagaan Islam yang seterusnya menjadikan kempen NoRiba satu realiti.

Pengasas Malakat Mall, Fadzil Hashim berkata, tanpa mengira mana-mana kelas pendapatan sama ada daripada golongan B40, M40 atau T20, penyatuan kuasa berbelanja umat Islam sebenarnya cukup kuat jika disatukan sepenuhnya.

“Kuasa yang ada pada tangan anda, cukup berkuasa jika pandai guna. Tapi ramai yang tidak yakin pada ekonomi Islam tanpa riba ini mampu dilakukan kerana mungkin mereka tidak tahu pun di mana nak mula.

“Dan usaha ini yang sudahpun bermula (di Malakat Mall) sebenarnya adalah untuk menyatukan kuasa pengguna sehingga kita semua dapat manfaatnya.

“Biar Allah tengok dahulu usaha kita. Untuk kita dapat kasih sayang Allah …untuk kita keluar daripada riba,’’ katanya hari ini.

Mohd. Fadzil Hashim berkata demikian dalam siaran Facebook Live sebelum pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Agama, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Menara Bank Rakyat hari ini.

Beliau berkata, usaha mewujudkan ekosistem ekonomi Islam perlu direalisasikan bagi menyelesaikan lebih banyak isu yang didepani umat Islam pada hari ini.

Wajarkah pembekalan daging diuruskan oleh orang Islam sepenuhnya – Gambar Hiasan

Salah satu daripadanya adalah isu penyelewengan status halal dalam import bekalan daging beku yang didedahkan media baru-baru ini.

Masalah itu katanya berpunca daripada kelemahan umat Islam sendiri khususnya dalam penguasaan ekonomi sehingga terpaksa menyerahkan urusan bekalan makanan kepada orang bukan Islam.

“Masalah kita ini sudah berpuluh tahun, bila kita menyerahkan urusan makanan kita kepada orang yang bukan sahaja tidak Islam malah beriman pun tidak sehingga sanggup menyeleweng. 

“Selama ini kita meletakkan keyakinan kepada jaminan halal yang dikeluarkan Jakim tapi kita tidak pernah menyelidik soal siapa yang mengendalikan sumber makanan kita.

“Jakim sudah mengeluarkan piawaian atau standard kawalan halal yang baik, tapi masalahnya kita tidak pernah fikir jauh sikit daripada itu iaitu soal kepercayaan sehingga berserah kepada orang yang tidak beriman dan tidak amanah,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap isu yang meresahkan umat Islam itu dapat diselesaikan dengan penuh hikmah dan diharapkan perkara yang sama tidak akan sama sekali berulang. 

“Saya akan berjumpa menteri sebentar lagi dan harap isu ini dapat diselesaikan dengan betul,’’ katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Dr. Zulkifli yang sebelum ini seperti menyebelahi pemain-pemain industri daging sejuk beku, Coach Fadzil berkata perkara itu mungkin berlaku kerana menteri dinasihat dengan maklumat yang tidak tepat oleh pegawai-pegawainya.

“Saya rasa lega sejak dua tiga hari ini, apabila melihat kenyataan dikeluarkan oleh Dr. Zul (Menteri) sudah mula memihak kepada kepentingan umat Islam kerana itu yang sepatutnya. 

“Itu yang sewajarnya, bukan menyebelahi peniaga-peniaga yang tidak amanah itu,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru mahu umat Islam supaya terus memberi sokongan kepada perniagaan Malakat Mall yang sudah ‘melangkah’ dalam usaha mewujudkan rantaian pembekalan makanan umat Islam sendiri.

“Kita hanya minta orang ramai datang berbelanja di Malakat Mall. Saya panggil bukan untuk syarikat saya tapi usaha ini digerakkan untuk kita umat Islam agar dapat kukuhkan ekonomi sendiri.

“Tanpa sokongan tuan-tuan, saya mungkin tidak berjaya dan siapa lagi selepas saya yang akan buat benda yang sama (membuka pasar raya Islam).

“Sebab itu kita minta lebih ramai datang membeli syer di Koperasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) dengan komitmen minimum RM100 sebulan,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here