Usahawan SME perlu model perniagaan baharu di zaman Covid-19

0
38

CYBERJAYA – Usahawan Islam di negara ini terutama dalam sektor industri kecil dan sederhana (SME) perlu mencari model-model perniagaan baharu untuk terus bertahan dan berkembang dalam zaman Covid-19.

Ketua Pegawai Operasi Malakat Mall, Abdul Salam Zulkarnain berkata, golongan itu tidak boleh lagi bergantung kepada cara perniagaan lama kerana impak daripada penularan pandemik itu sudah terbukti amat merugikan.

Sehubungan itu beliau berkata, salah satu daripada kaedah dan persediaan golongan tersebut pada saat yang kritikal ini adalah dengan memperkukuhkan kerjasama sesama usahawan.

Abdul Salam Zulkarnain

Katanya, tidak kira di mana sahaja lokasi perniagaan SME, sama ada di bandar dan luar bandar, golongan itu adalah yang paling terkesan kerana tiadanya persediaan dalam menghadapi kehilangan pelanggan.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita dapat lihat bagaimana usahawan kita terpaksa bertahan untuk survive.

“Ramai sangat yang tewas kerana tempoh kawalan pergerakan yang terlalu lama dan mereka pun tiada simpanan untuk bertahan dalam keadaan kos operasi yang tinggi,” katanya dalam segmen video Ekonomi Kita – Cabaran Usahawan Sepanjang Covid-19 disiarkan Malakat Mall.

Justeru katanya, usahawan Islam perlu melihat kepada kuasa penyatuan atau sebarang bentuk kerjasama yang dapat mengurangkan beban ditanggung oleh mereka.

Salah satu daripada konsep itu katanya adalah seperti yang telah dilaksanakan oleh pusat beli-belah Malakat Mall melalui kaedah perniagaan tanpa sewa.

Wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di Malakat Mall, Cyberjaya.

“Ramai yang tidak sedar bahawa dalam sektor SME, penyatuan dan kerjasama antara pemain itu sangat penting. Bila bersendirian, mereka tiada kekuatan kerana keuntungan harian yang sangat kecil.

“Sebab itu di Malakat Mall, usahawan dikecualikan daripada membayar sewa premis sebaliknya digantikan dengan konsep perkongsian hasil jualan,” ujarnya.

Beliau berkata, model perniagaan yang ditawarkan oleh Malakat Mall itu adalah salah satu contoh yang memberi lebih banyak manfaat kepada golongan peniaga kecil dan sederhana.

Katanya, sepanjang pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu, golongan peniaga di Malakat Mall yang dikecualikan bayaran sewa premis masih mampu bertahan walaupun mengalami kesurutan pendapatan.

“Jadi selepas PKP tamat, mereka boleh kembali ke sini untuk meneruskan perniagaan tanpa ada sebarang hutang dengan pemilik pusat beli belah ini.

“Ini adalah model yang perlu diperkembangkan untuk membawa kita keluar daripada model kapitalis yang cukup menekan sekarang,” katanya.

Pada masa yang sama katanya, Malakat Mall mengalu-alukan penyertaan serta kerjasama usahawan dan peniaga Islam di pusat beli-belah itu untuk mewujudkan ekosistem ekonomi Islam.

Oleh kerana itu katanya, Malakat Mall memerlukan sokongan umat Islam di negara ini dalam pelaburan Koperasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) dengan membeli syer serendah RM100 sebulan dan menikmati perkongsian dividen yang ditawarkan.

Sebahagian usahawan yang hadir pada taklimat Hari Bersama Vendor Malakat Mall di Cyberjaya. Foto FARID JANUDIN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here