Ujian penghantaran sejuk ultra berjaya dilaksanakan

0
70
Aaron Ago Dagang

BINTULU – Ujian penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 ke Klinik Kesihatan Belaga di sini dari pengilang vaksin itu di Puurs, Belgium melepasi syarat pengekalan sejuk ultra.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Ago Dagang berkata, latihan penghantaran vaksin ke kawasan pedalaman Sarawak yang berjalan lancar tanpa isu dan masalah itu membuktikan ia boleh dihantar ke mana-mana di negara ini.

Menurut beliau, input peranti log data yang diberikan oleh syarikat yang memantau proses penghantaran dari Belgium menunjukkan keputusan yang memuaskan.

“Daripada data pengelog itu, kita mendapati tiada isu atau kelemahan dan kita mengharapkan ketika aktiviti penghantaran vaksin sebenar nanti begitu juga,” katanya pada sidang akhbar selepas latihan penghantaran vaksin itu ke Hospital Bintulu hari ini.

Menurut Aaron, proses penghantaran menggunakan bekas ‘thermal shipper’ dari Belgium itu dilakukan melalui persinggahan di Singapura sebelum diterbangkan ke Kuching dan kemudian ke Bintulu.

Kakitangan KKM menguruskan latihan penghantaran vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Belaga, Bintulu. Foto : KKM

Katanya, semasa latihan, suhu di dalam thermal shipper dapat dikekalkan antara -90 hingga -60 darjah Celsius dan ini dapat memastikan vaksin berada dalam keadaan sempurna ketika sampai ke destinasinya.

Sementara itu, Ketua Sektor Farmasi Kesihatan Awam Malaysia Datin Shantini Thevendran berkata, bagi penghantaran sebenar nanti, syarikat Pfizer akan melantik sendiri ejen penghantaran vaksin itu ke fasiliti-fasiliti vaksin di negara ini.

Latihan pengendalian vaksin itu bagi anggota-anggota kesihatan dan Angkatan Tentera Malaysia akan dilaksanakan dari 2 hingga 5 Feb ini.

Malaysia dijangka menerima 12.8 juta dos vaksin itu secara berperingkat bermula pertengahan Februari dan proses vaksinasi akan dijalankan mengikut keutamaan iaitu ke atas anggota barisan hadapan, kemudiannya ke atas rakyat Malaysia yang berisiko tinggi dan rakyat yang berusia 18 tahun ke atas.

Pelaksanaan latihan penghantaran vaksin itu dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan syarikat Pfizer (M) Sdn. Bhd.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here