[VIDEO] Hanya penemuan kotak hitam dapat rungkai misteri SJ-182

0
68
twitter/SAR_NASIONAL

JAKARTA – Hanya penemuan kotak hitam pesawat Sriwijaya Air dapat merungkai sebab sebenar kapal terbang tersebut terhempas pada Sabtu lalu.

Pihak berkuasa setakat ini masih belum dapat merungkai sebab sebenar insiden tersebut, kerana rakaman komunikasi di antara juruterbang pesawat Boeing 737-500 itu dengan menara kawalan ‘hanya mengandungi komunikasi rutin’ sebelum ia terhempas.

Lokasi dasar laut di mana pesawat Sriwijaya Air terhempas
twitter/SAR_NASIONAL

“Rakaman percakapan yang diperoleh hanya mengandungi komunikasi rutin, langsung tidak menunjukkan sebarang situasi kecemasan,” kata anggota penyiasat dari Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Nurcahyo Utomo kepada AFP, hari ini.

Beliau turut menambah, data awal menunjukkan ‘kemungkinan besar’ fiuslaj pesawat tersebut masih utuh pada ketika ia terhempas ke air, Sabtu lalu.

“Namun, pada waktu ini, kami masih belum tahu (kenapa pesawat tersebut terhempas),” tambah Nurcahyo.

Setakat ini, pasukan pencari dan penyelamat masih meneruskan operasi mengumpul serpihan pesawat dan jenazah mangsa di kawasan operasi yang terletak di perairan Kepulauan Seribu.

Walaupun belum ditemukan, kedudukan kotak hitam pesawat itu sudah dikenal pasti berdasarkan isyarat yang dipancarkan.

Pada Sabtu lalu, pesawat dengan nombor penerbangan SJ-182 yang sedang dalam penerbangan ke Pontianak membawa 62 penumpang dan anak kapal itu, jatuh terhempas ke laut selepas 4 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here