Wanita didakwa sebagai pembunuh kucing mengaku tidak bersalah

0
96
Gambar hiasan

BUTTERWORTH – Wanita berusia 51 tahun yang didakwa memukul sehingga mati dua ekor kucing di flat di Pintas Kalui 1, Seberang Jaya dekat sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh, Hah Choy Kheng membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus setelah pertuduhan dalam bahasa Melayu dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu pada jam 1.20 petang, 29 Disember tahun lalu di bawah pokok berhampiran pondok berbumbung dalam kawasan padang permainan Blok B1, Pintas Kalui 1, Seberang Jaya, Perai, Seberang Perai Tengah (SPT).

Tertuduh didakwa dengan kejamnya memukul seekor kucing betina baka tempatan

berwarna oren dan seekor anak kucing betina baka tempatan berwarna putih kelabu dengan sebatang besi sepanjang 75 sentimeter (cm) sehingga menyebabkan kematian kedua-dua ekor kucing tersebut.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta yang sama.

Ia memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Roziman Awang Tahrin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, peguam tertuduh, Shamsher Singh Thind bersetuju dengan tawaran jaminan itu kerana jumlah wang jaminan dilihat munasabah.

Tertuduh bagaimanapun membayar wang jaminan tersebut dan mahkamah menetapkan 4 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Difahamkan, dia melakukan perbuatan kejam itu kerana haiwan berkenaan membuang najis di hadapan rumahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here