Youtube gantung akaun Trump

0
64

CYBERJAYA – YouTube semalam mengumumkan penggantungan saluran YouTube Donald Trump atas kesalahan dasar saluran video itu berkait hasutan aktiviti keganasan susulan serangan ke atas bangunan Capitol minggu lalu oleh penyokong presiden itu.

YouTube menyifatkan tindakannya itu sebagai “amaran” pertama sejajar dengan polisi yang akan mengharamkan sesuatu saluran selamanya selepas tiga kali amaran.

“Melihat pada kebimbangan terhadap potensi keganasan seterusnya, kami memadamkan kandungan baru yang dimuat naik ke saluran Donald J. Trump kerana melanggar dasar kami,” menurut YouTube dalam satu kenyataan.

Susulan penggantungan itu, saluran itu kini tidak dibenarkan memuat naik video baharu dan melakukan penstriman video bagi tempoh sekurang-kurangnya 7 hari.

Bagaimanapun, tempoh tersebut dijangka akan dilanjutkan berdasarkan keperluan, tambah YouTube.

Facebook minggu lalu menggantung akaun Facebook dan Instagram Trump berikutan rusuhan itu, yang meragut lima nyawa.

Twitter sebelum ini mengambil langkah lebih tegas dengan menghapuskan terus akaun Trump manakala Snapchat dan Twitch turut mengambil langkah menggantung akaun Trump.

Pada 6 Januari, ratusan penyokong Trump menyerbu bangunan Capitol semasa Kongres bersidang untuk mengesahkan kemenangan calon Preside,n Joe Biden. 

Trump sebelum ini mencabar kesahihan kemenangan Biden tanpa mengemukakan sebarang bukti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here