10 individu dikompaun…gagal patuhi SOP 2 orang 1 meja

0
105
10 individu dikompaun malam tadi di sebuah kafe di Shah Alam

CYBERJAYA – Sebanyak 10 individu dikenakan kompaun selepas ingkar arahan hanya dua orang dibenarkan makan di satu meja di sebuah kafe di Seksyen 13, Shah Alam malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, 10 individu berumur 18 hingga 22 tahun itu di kompaun selepas kesemua mereka duduk di satu meja.

Baharudin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan pelanggan kafe yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu katanya, sebuah pasukan digerakkan ke lokasi berkenaan kira-kira pukul 9.25 malam tadi dan mendapati pelanggan berada di satu meja dengan bilangan seramai 10 orang.

“Kita mengeluarkan kompaun terhadap mereka kerana melanggar SOP PKP. Pemeriksaan terhadap pengurus kafe warga Bangladesh berumur 35 tahun juga mendapati lelaki itu tidak mempunyai permit kerja yang sah.

“Buat masa ini, pemilik kafe adalah warga tempatan berada di Port Dickson dan telah diarah hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi membantu siasatan, namun kompaun akan dikeluarkan kepadanya.

“Polis berharap orang ramai dan peniaga tidak menyalahgunakan kebenaran diberikan kerajaan dan terus patuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, tindakan kumpulan berkenaan berkumpul di satu meja itu juga turut mendedahkan bahawa kafe yang beroperasi sejak lima tahun itu tidak mempunyai lesen perniagaan.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pembukaan untuk makan dalam restoran berbanding sebelum ini secara bungkus bawa balik atau penghantaran sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here