120 buggy musnah dalam kebakaran di Kelab Gold Serimas

0
190
Sebahagian daripada kenderaan buggy yang musnah dalam kebakaran di Kelab Gold Serimas dalam kejadian awal pagi tadi.

NILAI – Sebanyak 120 kereta buggy musnah dalam kebakaran premis penyimpanan kenderaan utiliti itu di Kelab Golf Serimas dalam kejadian awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bomba menerima laporan kejadian itu pada kira-kira 2.37 pagi.

“Dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Water Tanker bersama 35 pegawai dan anggota dari tiga balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mantin dan Seremban 2, dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 3.23 pagi dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan. Tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, pengawal keselamatan kelab golf berkenaan, Shamrasizu Shamsuddin yang merupakan saksi kejadian berkata, beliau terdengar letupan kuat di bahagian tingkat bawah kelab golf semasa membuat rondaan awal pagi tadi.

“Saya bersama rakan sekerja telah melakukan pemeriksaan lanjut dan mendapati api mula marak di bahagian tingkat bawah bangunan.

“Api merebak dengan pantas dan kawasan itu dipenuhi dengan asap tebal. Saya dalam keadaan cemas terus memaklumkan kepada penyelia saya yang kemudian bertindak menghubungi talian kecemasan MERS999,” katanya.

Rangka kenderaan buggy yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here