3 kampung di Besut dikenakan ‘lockdown’

0
133
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Tiga buah kampung yang terletak di daerah Besut, Terengganu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula Ahad ini berikutan pertambahan kes baharu Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga lokasi berkenaan ialah Kampung Darau Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor di Mukim Pasir Akar.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 570 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 21 kes positif Covid-19 telah direkodkan meliputi ketiga-tiga lokaliti ini.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di ketiga-tiga lokaliti itu sehingga 27 Februari ini,” katanya hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu bagi mengawal pergerakan penduduk, mengurangkan jangkitan dalam komuniti serta memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas kira-kira 2,152 penduduk di ketiga-tiga lokaliti itu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, turut dikenakan PKPD ialah Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah dan kuarters kakitangan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 81 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 29 kes positif Covid-19 telah direkodkan serta 45 baki saringan sedang menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, PKPD di lokaliti itu akan diadakan bermula Ahad hingga 27 Februari ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here