Ahli politik Melayu perlu belajar dengan DAP dan MCA-PPIM

0
263
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan

CYBERJAYA – Ahli politik Melayu sepatutnya belajar daripada DAP dan MCA yang tidak memecahbelahkan kaum Cina di  negara ini walaupun mereka tidak sependapat dalam arena politik.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, semua ahli politik Melayu sepatutnya bersatu agar lebih dihormati.

Nadzim berkata, beliau kesal dengan situasi sekarang khususnya dalam arena politik negara kerana perpecahan kaum Melayu itu ditimbulkan oleh orang Melayu sendiri.

“Perkara ini amat memalukan kerana yang mahu memecahbelahkan kaum Melayu adalah orang Melayu itu sendiri. Adakah orang Melayu sudah hilang rasa malu dan selesa bergaduh secara terbuka.

“Adakah kita mahu orang Melayu di sini menerima nasib yang sama seperti kaum Melayu Champa atau kaum Rohingya yang kini mengemis di negara sendiri?

“Melihat perkembangan terkini terutama dalam dunia politik negara, saya bimbang dan mahu rakyat lebih bijak menilai apakah keutamaan kaum Melayu masa kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nadzim juga menyeru rakyat Malaysia khususnya orang Melayu di negara ini untuk bertindak dan menguatkan perpaduan dan mengabaikan pihak yang cuba memecahbelahkan orang Melayu.

“Kita pilih nak lemah atau nak kuat dan dihormati. Jika kita bersatu, kita dihormati dan jika kita berpecah kita akan lemah dan akan dihina.

“Buatlah pilihan bijak dan perlu buang kesombongan dan sanggup berkorban seperti bangsa-bangsa yang berjaya.

“Kesan perpecahan kaum ini amat bahaya, jika bukan sekarang, saya khuatir kita akan kehilangan ketuanan Melayu dan nasib kita semua akan berakhir dengan tragedi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here