Aktiviti memancing dibenarkan dibuka semula mulai esok

0
151

CYBERJAYA – Bermula esok kerajaan membenarkan aktiviti di kolam pancing, house boat, pelantar pancing, rumah rakit dan bot memancing beroperasi semula.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu diberikan selepas menerima rayuan daripada pengusaha-pengusaha kolam pancing, houseboat dan bot memancing yang hilang mata pencarian ketika ini.

“Kolam pancing yang ingin beroperasi perlu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perikanan Malaysia, manakala rumah rakit dan pelantar memancing perlu berdaftar dengan PBT sahaja.

“Semua premis hendaklah memastikan penjarakan sosial sekurang-kurangnya dua meter antara setiap pemancing semasa aktiviti. Tempat duduk pemancing perlu ditandakan dengan jelas,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, premis itu juga hendaklah menyediakan pendaftaran pelanggan melalui MySejahtera, menyediakan sabun untuk mencuci tangan, melakukan saringan suhu selain melaksanakan sanitasi setiap dua jam mulai masa dibuka sehingga premis ditutup.

Katanya, premis itu juga hendaklah disanitasi secara keseluruhan selepas ditutup.

“Masa operasi yang dibenarkan adalah bermula dari 8 pagi sehingga jam 10 malam.

“Sebarang pertandingan memancing adalah tidak dibenarkan sama sekali,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, bagi SOP sewaan bot atau sampan yang ingin beroperasi perlu berdaftar dengan PBT dan Jabatan Perikanan Malaysia.

Katanya, bilangan maksimum penumpang termasuk jurumudi dalam satu bot tidak lebih 50 peratus daripada kapasiti asal. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here