Artis jangan hidangkan persembahan berunsur maksiat-Ustazah Asma

0
162
Pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma Harun

CYBERJAYA – Pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma Harun sekali lagi membuat teguran terbuka kepada golongan artis dan selebriti agar lebih bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, Asma mengingatkan para artis supaya tidak menghidangkan persembahan berunsur maksiat, lucah atau yang boleh menjatuhkan maruah.

“Mohon duhai semua artis tanah air atas tiket apa pun sama ada pelakon, penyanyi, pelawak, pengacara dan lain-lain. Jadilah penghibur yang ada rasa tanggungjawab, tidak menyumbang kepada kerosakan yang sedia parah ini.

“Hentikan persembahan atau pertandingan berunsur maksiat, berunsur lucah dan menjatuhkan maruah.

“Diharapkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, pihak berwajib, Persatuan Seniman dan lain-lain turut boleh memainkan peranan dalam isu begini. Jika tidak dibendung dengan bersungguh, maka normalisasi akan berlaku,” katanya.

Asma membuat teguran tersebut kerana menurutnya dunia hiburan pada ketika ini seakan-akan menormalisasikan maksiat dalam sesuatu persembahan yang dilakukan golongan artis.

Tidak bermaksud untuk ‘mencerca’ pekerjaan golongan artis, sebaliknya Asma mengakui golongan selebriti diperlukan dalam persada seni bagi memenuhi fitrah manusia yang memerlukan hiburan.

“Iya, kalian diperlukan dalam persada seni, memenuhi fitrah insani, namun bukan dengan cara begini. Kasihanilah diri sendiri, kita semua bakal mati, janganlah ditangguh lagi hajat untuk kembali,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here