Artis terkenal Raja Ilya bukan lagi tauke Richiamo Coffee

0
9758
Muhd Zamry Abu Samah muncul sebagai pemegang saham terbesar di dalam syarikat tersebut.

CYBERJAYA – Pelakon terkenal, Raja Ilya melepaskan pegangan sahamnya dalam kedai kopi premium, Richiamo Coffee yang dilancarkan pada September 2016.

Menurut Richiamo Coffee Sdn. Bhd. (Richiamo Coffee) dalam satu kenyataan, Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum melepaskan pegangan saham dalam syarikat itu bersama seorang lagi pemegang saham iaitu Zulkiflee Yusof.

Berikutan itu, katanya, Muhd Zamry Abu Samah muncul sebagai pemegang saham terbesar di dalam syarikat tersebut.

“Perletakan jawatan dua pemegang saham itu secara bersama itu telah menjadikan Mohd Zamry sebagai pemegang saham tunggal terbesar iaitu kira-kira 80 peratus di dalam Richiamo Coffee.

“Raja Ilya dan Zulkifli secara sukarela melepaskan pegangan masing-masing iaitu 20 peratus setiap seorang dan berikutan itu, Muhd Zamry telah menawarkan untuk membeli saham-saham tersebut dari mereka berdua,” katanya hari ini.

Richiamo Coffee

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, nilai pembelian semula saham kedua-dua mereka itu tidak didedahkan dan perletakan jawatan tersebut berkuat kuasa mulai 31 Januari lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, Muhd Zamry sebelum ini merupakan pemain di dalam industri permotoran dan memilik pengalaman lebih 30 tahun di dalam industri tersebut.

“Dengan pengalaman di dalam pemasaran dan jualan beliau melihat industri makanan dan minuman yang diterokai sejak 2015 memiliki prospek yang cerah untuk berkembang di dalam dan luar negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, Muhd Zamry ketika ini menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee.

“Tiada sebarang perubahan di dalam struktur pentadbiran syarikat walaupun kedua-dua pemegang saham itu melepaskan pegangan masing-masing.

“Operasi masih berjalan seperti biasa dan ia tidak menganggu sebarang urusan dengan pelbagai pihak sama ada para pelanggan, pihak pembekal dan juga syarikat kewangan,” ujarnya.

Sementara itu, menurut kenyataan itu, pihak syarikat juga mengucapkan terima kasih kepada Raja Ilya dan Zulkiflee di atas sumbangan mereka selama lima tahun dalam membangunkan jenama Richiamo Coffee sehingga ke tahap sekarang dan menjadi sebutan serta dikenali

Katanya, untuk perancangan masa hadapan pihaknya merancang membuka tujuh lagi cawangan pada bulan ini.

Setakat ini, katanya, Richiamo Coffee telah mempunyai 30 cawangan di seluruh negara.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here