
WASHINGTON – Amerika Syarikat akan menarik balik pengisytiharan puak Houthi di Yemen sebagai pengganas bagi mengelakkan krisis kemanusiaan di negara tersebut.
Menurut Reuters, keputusan tersebut dibuat ketika Presiden AS, Joe Biden menarik balik sokongan terhadap operasi ketenteraan Arab Saudi di Yemen.
“Tindakan ini adalah bersifat kemanusiaan,” kata seorang pegawai Jabatan Negara AS yang tidak dinamakan.
Beliau menambah, penarikan balik pengisytiharan tersebut bukan bermaksud AS menyokong puak Houthi dan tindakan mereka.
Puak Houthi diisytiharkan sebagai ‘pengganas’ oleh pentadbiran yang dipimpin oleh Donald Trump.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Yemen sedang dilanda krisis kemanusiaan, dengan 80 peratus daripada penduduknya memerlukan bantuan segera.