
CYBERJAYA – Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini berjaya menangkap 9 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup masuk melalui laluan yang tidak sah.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, tangkapan tersebut berlaku di sektor Op Benteng yang dipertanggungjawabkan kepada Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).
Kata kenyataan itu, pihak ATM telah menerima maklumat daripada nelayan tempatan mengenai kewujudan sebuah bot yang mencurigakan mendekati pantai di kawasan Sungai Buntu di Pengerang, Johor.

“Bertindak atas aduan, satu pasukan gerakcepat (QRF) diaturgerak ke lokasi bagi melakukan penjejakan dan pengepungan,” kata kenyataan itu.
Susulan itu, kata ATM lagi, seramai 2 PATI yang sedang menunggu kenderaan berjaya ditahan pada pukul 10 pagi, manakala 7 lagi yang sedang bersembunyi berjaya ditahan pada pukul 11.20 pagi.
Kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 6 lelaki dan 3 wanita, berumur antara 20 tahun hingga 54 tahun.
Pihak ATM turut merampas sejumlah wang tunai, telefoin bimbit, jam tangan dan pelbagai barang kemas dengan nilai anggaran keseluruhan RM24,023.68.
Kesemua PATI yang ditahan kemudiannya dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.