Bapa tiri Amir ada rekod pukul isteri

0
163
Mangsa, Zubaidi Amir Qusyairi ketika bersama keluarga angkatnya sebelum penjagaan diserahkan kepada ibu kandungnya.

MELAKA – Suspek yang merupakan bapa tiri kepada kanak-kanak ditemui maut dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Jumaat lalu pernah didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan memukul isterinya, pada 8 September 2020.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali mengesahkan perkara tersebut dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

“Suspek lelaki iaitu bapa tiri kepada mangsa pernah didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas kesalahan memukul isterinya.

“Pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes ini,” katanya memetik laporan Kosmo! hari ini.

Abdul Majid Mohd. Ali

Terdahulu, dalam pendakwaan tersebut, suspek berusia 38 tahun terbabit dihadapkan atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, yang ketika itu berusia 31 tahun dengan cara memukul bahagian pipi kanan menggunakan tangan.

Kesalahan itu dilakukan suspek di dalam sebuah rumah di Jalan KJ19 Taman Krubong Jaya dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 3 September lalu.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, Zubaidi Amir Qusyairi ditemui meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh ibu dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Jumaat lalu.

Kematian mangsa dilaporkan oleh bapa tirinya yang  mendakwa kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat lemas di dalam tong air setinggi 0.6 meter di rumah mereka, kira-kira pukul 4 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, sepasukan polis telah ke lokasi dan pemeriksaan pada tubuh badan mangsa terdapat kesan kecederaan akibat didera.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa merupakan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dan pemeriksaan lanjut pada fizikal badannya terdapat kesan lebam serta kecederaan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah, manakala kedua-dua ibu dan bapa tiri mangsa berusia 32 dan 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here