Bas dan van sekolah dijual macam besi buruk

0
130
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Penularan Covid-19 yang membawa kepada penutupan sekolah menyebabkan lebih 200 pengusaha bas dan van sekolah di Kelantan berdepan nasib ‘gulung tikar’.

Akibat tiada lagi sumber pendapatan daripada pekerjaan itu, ramai yang bertindak nekad menjual bas dan van sekolah mereka pada harga yang jauh lebih murah daripada harga semasa.  

Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Kelantan, Wan Mohd Nuhairi Wan Hamat berkata, akibat terdesak dengan keadaan semasa dan tidak lagi mampu menampung kos operasi, ada yang terpaksa menjual aset perniagaan itu kepada peniaga besi buruk dengan harga antara RM5,000 hingga RM7,000 sebuah.

“Ramai yang tertekan kerana sejak bulan Mac tahun lepas lagi kami tiada punca pendapatan, malah pihak persatuan juga tidak mampu untuk membantu ahli… Ada yang terpaksa menjual bas dengan harga lebih rendah daripada pasaran,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima bantuan daripada Program Sumbangan Musaadah Membabitkan Pemandu Bas dan Van oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood.

Terdahulu 214 pengusaha bas dan van sekolah menerima bakul makanan bernilai RM50 yang disumbang oleh pihak YADIM Kelantan secara pandu lalu, yang turut dihadiri pengarahnya, Mahadi Awang.

Mengulas lanjut Wan Mohd Nuhairi berkata, pengusaha bas sekolah berharap kerajaan dapat membantu mereka, khususnya dari segi memudahkan pinjaman bank.

“Kami memohon pihak yang berkaitan termasuk kerajaan dan kerajaan negeri tampil membantu menyalurkan bantuan kepada pihak persatuan untuk meneruskan kehidupan dan memberi sinar baharu kepada golongan kami seperti bantuan pinjaman melalui bank untuk modal pusingan dan sebagainya.

“Sebelum ini ramai ahli terpaksa membuat pinjaman melalui syarikat kredit kerana bank enggan memberi pinjaman bagi pembelian bas sekolah, malah keadaan itu sekali gus menyebabkan pengusaha bas terpaksa menanggung kadar faedah yang tinggi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here