Bedah siasat belum temui punca kematian Amir Qusyairi

0
185
Mohd Sukri Kaman

MELAKA – Punca kematian kanak-kanak berusia 7 tahun yang dilaporkan didera oleh ibu kandung dan bapa tiri di Taman Krubong Jaya masih belum dapat kenal pasti selepas proses bedah siasat selama 11 jam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata, pakar forensik masih memerlukan maklumat lanjut dan melakukan beberapa ujian makmal, bagi mengetahui punca sebenar kematian Zubaidi Amir Qusyairi.

Setakat ini katanya, beberapa spesimen dari organ badan mangsa seperti paru-paru, jantung dan hati telah diambil untuk menjalankan ujian lanjut dan ia dijangka mengambil suatu tempoh masa tertentu, yang belum dapat dipastikan.

Katanya terdapat kecederaan di seluruh anggota badan mangsa terutama di bahagian belakang termasuk lebam baharu dan lama, selain luka kecil baharu di bahagian belakang kepala mangsa.

“Siasatan awal mendapati kecederaan itu berpunca daripada objek tumpul, namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui sama ada kecederaan itu disebabkan mangsa sendiri jatuh atau kelakuan mana-mana individu.

“Justeru terlalu awal untuk mengesahkan punca kematian mangsa akibat didera seperti yang didakwa sebelum ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata hasil bedah siasat yang dijalankan itu mendapati, mangsa baharu meninggal dunia kira-kira dua jam ketika ditemui pihak polis di rumahnya pada hari kejadian, sekali gus menolak tuduhan pelbagai pihak bahawa mayat mangsa ditemukan dalam keadaan kembung.

Katanya jenazah kanak-kanak malang itu dijangka akan diserahkan kepada waris sah mangsa pada esok pagi, selepas beberapa prosedur wajib dilaksanakan.

Mohd Sukri berkata pihaknya juga belum mendapat maklumat sahih, di mana kanak-kanak itu akan dikebumikan.

Jumaat lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut, dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya, dalam satu kejadian di Taman Krubong Jaya di sini.

Zubaidi Amir Qusyairi didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, namun siasatan siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Mangsa sebelum ini dibesarkan keluarga angkatnya yang tinggal di Rawang, Selangor ketika masih bayi sebelum ibu kandung mangsa mengambilnya semula untuk dijaga, pada Oktober tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here