
CYBERJAYA – Kerajaan diminta memberikan kuasa autonomi kepada Jawatankuasa Pengelola Sekolah Swasta dalam membuat sebarang keputusan.
Keputusan itu termasuklah pengoperasian sekolah masing-masing ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat (PKPB) di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim, berkata dengan kuasa berkenaan segala keputusan dapat dibuat lebih tertumpu mengikut situasi semasa.
“Pembukaan sekolah swasta perlu dibenarkan mengikut budi bicara dan tanggungjwab Lembaga Sekolah masing-masing dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan serta tidak terikat dengan jadual persekolahan sekolah kebangsan.

“Oleh kerana sekolah swasta ini diuruskan secara langsung di bawah bidang kuasa pengelola, mereka ini berupaya untuk menguruskan dengan baik.
“Kita hanya minta kuasa autonomi ini ketika pelaksanaan PKP atau PKPB, jika kawasan itu dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) kita semua faham secara automatik sekolah akan ditutup,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media oleh Gabungan Sekolah-Sekolah Swasta bagi meminta kerajaan membenarkan pengoperasian sekolah swasta dan antarabangsa di Malakat Mall hari ini.
Turut hadir Koordinator Gabungan Sekolah-sekolah Swasta dan Antarabangsa Malaysia, Zaliza Alias dan Pengarah Eksekutif Pendidikan IKRAM Musleh, Megat Mohamed Amin.
Menurut Mohd Fadzil, SOP pengoperssian sekolah yang ditetapkan oleh kerajaan itu sudah jelas iaitu jika ada kes di sekolah terbabit ia secara automatik akan ditutup.
Sementara itu, Zaliza berkata, pihaknya menggesa kerajaan untuk membenarkan sekolah swasta beroperasi seperti biasa demi memastikan kelestarian dan kelangsungan industri itu di Malaysia.

Beliau berkata, ketika ini kelestarian dan kelangsungan sekolah swasta terancam akibat ibu bapa yang tidak membayar yuran pengajian dengan alasan murid tidak ke sekolah.
“Ketika ini, ada yang tidak membayar yuran walaupun sesi PdPR dilaksanakan kerana alasan mereka murid tidak pergi ke sekolah.
“Melalui PdPR yang dilaksanakan ketika ini juga, berlaku pertambahan tekanan kerja ke atas guru kerana beban dan cabaran sistem pengajaran baharu,” katanya.
Selain itu katanya, apabila sekolah tidak dibuka, mata pencarian guru dan kakitangan di sekolah swasta juga terancam dengan pengurangan gaji dan kemungkinan sekolah ditutup.
“Sekolah-sekolah swasta merupakan satu sektor industri yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. Ia melibatkan ratusan ribu pelajar, guru dan pekerja di samping pekerja di dalam industri yang berkaitan seperti pengangkutan, kantin, keselamatan dan pembersihan.
“Kami mengambil maklum bahawa semenjak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Darurat pada 11 Januari lalu, KPM sehingga ke hari ini, belum ada apajua pemakluman mengenai pembukaan semula semua sekolah termasuk sekolah swasta,” katanya.
Selain itu katanya, atas rasa amanah dan bertanggungjawab, sekolah swasta tetap menjalankan pelbagai inisiatif dan inovasi dalam proses pendidikan termasuklah PdPR, program Tahfiz, dan program kokurikulum pelajar secara dalam talian.
“Hampir kesemua inisiatif dan inovasi tersebut dilaksanakan dalam talian semenjak tarikh mula PKP pada 18 Mac 2020 sehingga sekarang. Jelasnya guru-guru bukan sahaja menjalankan tugas mengajar, malah lebih dari itu,” katanya.