Berputih mata penangan 2 bungkus nasi RM38

0
1286

KOTA BHARU – Gara-gara mengenakan bayaran RM38 untuk dua nasi bungkus kepada pelanggan, pemilik gerai nasi berlauk di Kubang Kerian, dekat sini berputih mata apabila dikompaun penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengarah KPDHEP Kelantan, Adnan Abdul Rahman berkata, pemeriksaan dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada seorang pengadu yang membayar dua nasi bungkus pada harga tersebut kira-kira tiga hari lalu.

Katanya, pengadu telah tampil ke pejabat KPDNHEP Kota Bharu untuk membuat aduan  berkaitan perkara tersebut berserta bukti pembelian dari premis yang diadukan.

“Pengadu membayar sebanyak RM38 dan pengadu tidak berpuas hati dengan harga pembelian tersebut kerana harga terlalu tinggi dan tiada tanda harga dipamerkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, pegawai penguat kuasa KPDNHEP Kota Bharu bertindak menyiasat aduan tersebut di premis yang diadukan dan siasatan dijalankan mendapati tiada tanda harga dipamerkan di premis berkenaan.

“Satu tindakan kes diambil di bawah Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011 ke atas kesalahan premis gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual,’’ katanya.

Susulan itu kedai makan terbabit telah dikompaun kerana tidak meletakkan tanda harga pada barangan dijual.

Beliau menjelaskan untuk rekod sebanyak 44 kes di bawah Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011 dilaporkan dari Januari 2021 hingga hari ini.

KPDNHEP memberi amaran kepada semua peniaga agar mempamerkan tanda harga supaya pengguna boleh membuat pilihan dan perbandingan sebelum pembelian.

Pengguna juga katanya boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan dan KPDNHEP Kelantan tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan yang tegas keatas premis-premis yang melanggar undang-undang yang telah dikuatkuasakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here