Bila tiba giliran Cina, semua bagai cacing kepanasan

0
707
Ridhuan Tee Abdullah

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak sepatutnya tunduk kepada desakan pemimpin kaum Cina yang ‘ultra kiasu’ berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Sedangkan SOP pencegahan Covid-19 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini bukan sesuatu yang baharu bahkan telah dikuatkuasakan dalam pelbagai musim perayaan pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Bahkan, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri memaklumkan, dalam isu ini Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah mengadakan dua kali sesi libat urus dengan 21 badan agama, kebudayaan dan perniagaan Cina.

Pemerhati politik, Prof Dr. Mohd Ridhuan Tee berkata, bantahan yang membawa kepada tindakan menarik balik SOP itu adalah sesuatu yang bersifat double standard kepada kaum lain di negara ini.

Beliau secara sinis mempersoalkan, kenapa sebelum ini SOP yang dikeluarkan kerajaan ‘tidak pernah mengambil kira sensitiviti budaya Melayu’ tetapi orang Islam mematuhinya sahaja tanpa banyak soal.

“Saya bukan siapa-siapa pun untuk memberikan pandangan. Apapun, setelah diasak dan didesak kiri kanan oleh ultra kiasu, kerajaan terpaksa tunduk, walaupun dikatakan, sudah banyak pandangan pakar diambil kira.

“Bandingkan, ketika merangka SOP bulan puasa, hari raya puasa, hari raya kurban tahun lepas, pernah kerajaan seteliti ini? Memanggil pakar dan wakil untuk membincangkan SOP ini, dalam menjaga sensitiviti budaya penganut majoriti Islam?,” soalnya.

Bagaimanapun apabila SOP yang ditetapkan bertentangan dengan budaya hari raya Cina, pemimpin ultra kiasu menggelabah seolah mahu kiamat, ujar beliau lagi.

Katanya, dalam memahami keutamaan dalam musim pandemik Covid-19, pemimpin negara pula sedar bahawa kepentingan nyawa jauh lebih penting daripada budaya dan tidak meletakkan politik sebagai agenda pertama.

“Sekali bertentangan dengan ‘budaya hari raya’ ultra kiasu kononnya, habis menggelabah kita semua. Macam nak kiamat. Goncang habis. Macamlah mereka ini mengundi Perikatan Nasional (PN).

“Kenapa kena pada kita, kita menjadi tidak sensitif. Tetapi kena pada orang lain, kita teramat sensitif. Habis dasar berubah, keputusan ditarik secara tiba-tiba,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan perlu membuat pertimbangan mengikut neraca keadilan bukannya politik dan tidak sesekali tunduk kepada desakan berkepentingan.

“Seyogia saya nak ingatkan, bagilah apa pun kepada ultra kiasu ini, jangan harap undi akan berbalik kepada PN dalam PRU15 akan datang. Ultra kiasu tetap ultra kiasu,” dakwanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here